Semasa

Kabinet mahu isu penjualan stoking tertera kalimah Allah segera diambil tindakan – Fahmi

Jemaah Menteri yang bermesyuarat pada Jumaat bersetuju tindakan tegas dan segera wajar diambil berhubung isu penjualan stokin tertera kalimah Allah oleh sebuah kedai serbaneka baru-baru ini.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, Jemaah Menteri melihat isu itu telah mengakibatkan satu persepsi terhadap penghinaan agama dan sensitiviti kaum di negara ini.

Ketika ini, pihak berkuasa jelasnya sedang giat menjalankan siasatan berkaitan isu yang telah tular di media sosial sejak 13 Mac lalu itu.

“Sekarang polis dah buat siasatan dan tindakan sepatutnya. Bagi tindakan penguatkuasaan boleh rujuk kepada yang dilakukan polis, untuk sebarang tindakan undang-undang pula rujuk Jabatan Peguam Negara,” katanya dalam sidang media di Angkasapuri.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi sementara itu memaklumkan, arahan telah diberikan supaya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) memantau media sosial terutamanya TikTok dan Facebook berkenaan tular tangkap layar kenyataan berbaur hasutan untuk membentuk persepsi umum
berkaitan isu tersebut.

BACA LAGI: JAKIM beri amaran keras kepada KK Mart, elak perkara berulang lagi

“MCMC sudah mengenal pasti trend menyiarkan satu mesej yang sama dan diulang-ulang oleh banyak akaun lain, namun belum dikenal pasti sama ada ia tindakan disengajakan ataupun tidak, mungkin ada cubaan pihak cuba menangguk di air yang keruh,” jelasnya.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dalam satu sidang media pada Jumaat memaklumkan polis sudah melengkapkan siasatan berhubung perkara berkenaan dan kini menunggu arahan selanjutnya daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Related Articles

Back to top button