Sukan

KBS pantau setiap tender, benteras kartel penipuaan perolehan kerajaan

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bakal meneliti tawaran daripada syarikat atau kontraktor yang menyertai tender dan sebut harga melibatkan tender di bawah kementerian itu

Menterinya Hannah Yeoh berkata, ia bagi memastikan kementerian itu bebas daripada kartel tipuan bida atau collusion sekaligus mengelak dari berlaku ketirisan.

Justeru tambahnya, KBD akan menjalin kerjasama dengan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dalam menjayakan usaha itu.

“KBS mahu mengingatkan pihak syarikat atau kontraktor supaya membuat pengisytiharan non-collusion dan tidak terlibat dalam sebarang pakatan harga semasa menyertai mana-mana perolehan di KBS. Kita tidak mahu kos meningkat kerana isu kartel ini.

“Sekiranya jawatankuasa berasa ada yang tak kena dalam bidaan, MyCC akan diaktifkan. MyCC akan meneliti kenapa semua bidaan ini harga dan butiran lain hampir sama kerana kita nak proses ini telus serta kerja itu diberi kepada pihak yang betul-betul mampu melaksanakannya,” katanya pada sidang media di Menara KBS di Putrajaya pada Jumaat.

Beliau turut memberikan peringatan bahawa syarat sama diguna pakai kepada persatuan sukan dan syarikat dalam permohonan Geran Padanan Sukan (GPS) untuk penganjuran pertandingan sukan di peringkat antarabangsa dan kebangsaan.

“Dalam jawatankuasa (GPS) juga kita sedang memerhatikan trend permohonan supaya tiada kartel, jika ada, KBS, akan melaporkan kepada SPRM. Seperti yang saya katakan, tahun ini adalah tahun pembersihan, tahun lepas ada pembaharuan,” katanya.

BACA LAGI: Suruhanjaya Persaingan Malaysia akan lebih agresif perangi kartel 

Sementara itu tambahnya, tiga fokus utama kerjasama antara KBS dan MyCC adalah advokasi mengenai antipersaingan, nasihat polisi daripada pihak MyCC, dan perkongsian maklumat serta pelaporan kes disyaki menjadi pelanggaran di bawah Akta Persaingan 2010 untuk penyiasatan lanjut.

Hannah berkata, peruntukan untuk KBS adalah kecil dan setiap penjimatan penting untuk menggunakan dana itu bagi pembangunan sukan dan menaik taraf kemudahan di bawah kementerian itu.

Related Articles

Back to top button