KPM ambil tindakan awal terkait isu pelajar kolej vokasional maut dibelasah
Kementerian Pendidikan (KPM) bersedia memberi kerjasama penuh berhubung kes pelajar lelaki maut dibelasah rakan di sebuah kolej vokasional dekat Lahad Datu, Sabah.
Dalam kenyataan hari ini, KPM memaklumkan sudah pun bertindak dengan menyalurkan bantuan kebajikan kepada keluarga mangsa.
Menurutnya, KPM juga menawarkan sokongan psikososial keluarga mangsa, pelajar lain, guru dan seluruh warga kolej berkenaan.
“KPM mezahirkan rasa dukacita dan ucapan takziah kepada keluarga Muhd Nazmie Aizat Muhd Narul Azman, pelajar kolej vokasional di Sabah yang telah meninggal dunia pada Jumaat (semalam).
“Dalam masa yang sama, KPM menyeru semua pihak untuk menghormati privasi keluarga mangsa.
“KPM tidak berkompromi dengan salah laku buli di semua institusi pendidikan di bawah kelolaannya,” katanya.
Pada Jumaat, Muhd Nazmie, 17, ditemui mati di bilik asrama dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh warden asrama yang bertugas pada 6.50 pagi.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad dilapor berkata, pihaknya menerima laporan yang dibuat oleh pengarah kolej berkenaan.
Katanya, mangsa adalah penghuni asrama kolej itu yang ditemui tidak sedarkan diri, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Tambahnya, pemeriksaan selanjutnya mendapati terdapat kesan kecederaan dan lebam di beberapa bahagian tubuh mangsa, dan siasatan awal mengenal pasti punca kejadian akibat perselisihan faham antara mangsa dengan penghuni asrama lain.
Setakat semalam, polis menahan seramai 13 pelajar lelaki berusia 16 dan 19 tahun, manakala satu rampasan alat pengecas telefon pintar yang dipercayai berkait dengan siasatan kes ini.
Polis juga sedang mengesan tujuh saksi bebas untuk membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.