Nasional

Lanjutan tempoh daftar PADU lambatkan lagi pelaksanaan subsidi bersasar – Rafizi

Kerajaan tidak berhasrat untuk melanjutkan tarikh akhir 31 Mac untuk mendaftar maklumat di Pangkalan Data Utama (PADU) kerana ia akan menjejaskan rancangan melaksanakan subsidi bersasar menjelang akhir tahun, kata Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli.

“Kita perlu mengikut tempoh untuk melaksanakan subsidi yang disasarkan. Jika saya mempunyai lebih masa, saya akan melanjutkan (tarikh akhir).

“Bagaimanapun, sebarang pelanjutan sekarang akan melambatkan lagi tempoh yang kami tetapkan,” katanya pada sesi dialog awam PADU di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam, hari ini.

Beliau juga menjangkakan 10 juta akan mendaftar PADU pada tarikh akhir 31 Mac, selepas kerajaan sebelum ini berkata ia menyasarkan 29 juta orang untuk mendaftar.

Ini bersamaan 50 peratus daripada populasi dewasa atau mereka berumur 18 tahun ke atas, yang layak mendaftar, katanya sambil menambah 7.07 juta mendaftar setakat ini.

Rafizi berkata, kerajaan menanggung kira-kira RM2 bilion subsidi diesel setiap bulan.

Dalam perkembangan lain, Kementerian Ekonomi akan mengadakan pertemuan dengan kerajaan Sarawak minggu hadapan bagi membincangkan mengenai pendaftaran PADU.

Rafizi berkata, ia berikutan wujudnya arahan oleh kerajaan negeri agar pendaftaran dan kemas kini PADU di negeri itu ditangguhkan.

“Setakat ini, saya difahamkan arahan untuk pendaftaran ditangguhkan hanya tertakluk kepada pegawai dan kakitangan kerajaan negeri sahaja.

“Kita telah menghubungi kerajaan Sarawak dan minggu depan Kementerian Ekonomi akan duduk (berbincang) berkenaan hal ini dengan mereka,” ujarnya.

Related Articles

Back to top button