Nasional

2,623 kematian akibat tibi direkodkan pada tahun 2023 – Dr Dzulkefly

Sebanyak 2,623 kematian akibat tuberkulosis atau tibi direkodkan tahun lepas, meningkat dua peratus atau 51 kes berbanding 2022, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Dalam kenyataan bersempena dengan Hari Tibi Sedunia hari ini, beliau berkata sebanyak 26,781 kes penyakit berkenaan dilaporkan pada tahun lepas dengan peningkatan sebanyak 1,390 atau 5.47 peratus berbanding 25,391 kes, sepanjang tempoh sama tahun sebelumnya.

“Penyakit tibi masih menjadi satu daripada beban penyakit utama di Malaysia. Statistik semasa penyakit tibi membimbangkan dan menjejaskan kualiti hidup rakyat Malaysia.

“Dengan adanya rawatan yang boleh menyembuhkan penyakit tibi, usaha bagi mengesan awal dan memulakan rawatan secepat mungkin perlu ditingkatkan,” katanya.

Beliau berkata, tibi ialah penyakit berjangkit yang merebak melalui udara disebabkan oleh Mycobacterium tuberculosis dan organ utama yang dijangkiti ialah paru-paru (pulmonary TB), namun organ lain yang boleh mendapat jangkitan ialah otak (meningitis TB), tulang belakang (spinal TB), kelenjar limfa (lymph node TB), perut (abdominal TB) dan lain-lain.

Gejala penyakit tibi adalah seperti batuk yang berpanjangan melebihi dua minggu, demam, berpeluh waktu malam, kurang selera makan, susut berat badan dan batuk berdarah.

“Salah faham berkaitan gejala penyakit tibi adalah disebabkan santau, buatan orang atau penyakit keturunan perlu diperbetul agar individu yang mempunyai gejala penyakit tibi mendapat pemeriksaan dan rawatan awal di klinik kesihatan dan hospital yang berhampiran.

“Mereka yang berisiko tinggi untuk dijangkiti penyakit tibi seperti pesakit HIV, pesakit buah pinggang kronik, penghidap pulmonari kronik (jenis obstruktif), perokok aktif dan individu yang mempunyai kontak kepada kes tibi juga dinasihatkan untuk melakukan saringan,” katanya.

Dr Dzulkefly berkata, pesakit tibi yang berhenti mengambil atau enggan meneruskan rawatan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Beliau berkata, statistik semasa penyakit tibi amat membimbangkan dan menjejaskan kualiti hidup rakyat.

Dr Dzulkefly menyatakan demikian sempena Hari Tibi Sedunia yang disambut pada 24 Mac setiap tahun.

Sambutan tersebut adalah bagi memperingati sejarah penemuan bakteria Mycobacterium tuberculosis oleh Dr Robert Koch pada 24 Mac 1882.

Tema tahun ini adalah ‘Yes! We Can End TB’ atau ‘Ya, Kita Boleh Hentikan Tibi!’ bagi menyeru sokongan dan komitmen semua individu dan lapisan masyarakat untuk menggembeling usaha, tenaga, kepakaran, inovasi serta meningkatkan pelaburan bagi menghentikan tibi di Malaysia.

Related Articles

Back to top button