Sukan

Gelaran juara beregu campuran Terbuka Switzerland sah milik Malaysia

Gelaran juara dan naib juara beregu campuran di Terbuka Switzerland 2024 sah menjadi milik Malaysia selepas dua wakil negara akan membuat perhitungan di pentas final, malam ini.

Terdahulu, dua beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dan Cheng Tang Jie-Toh Ee Wei berjaya mengesahkan kemaraan ke final selepas mengatasi lawan masing-masing di separuh akhir, awal pagi tadi.

Pada aksi yang berlagsung St Jakobshalle di Basel itu, Soon Huat-Shevon mara ke final buat kali ketiga berturut-turut selepas menundukkan pasangan Belanda, Robin Tabeling-Selena Piek 21-18, 21-16 dalam tempoh 37 minit.

Tang Jie-Ee Wei tidak berdepan masalah untuk menundukkan gandingan Taiwan, Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin 21-16, 21-12 sekali gus melangkah ke final buat kali pertama kejohanan bertaraf Super 300 itu.

Pertembungan malam ini menjadi peluang buat Soon Huat-Shevon untuk menebus kekecewaan dalam dua edisi terakhir yang menyaksikan mereka sekadar muncul naib juara selepas tewas di pentas final.

Tang Jie-Ee Wei pula dalam misi untuk memburu gelaran sulung mereka musim ini dengan pencapaian terbaik adalah muncul naib juara Masters Thailand, bulan lalu.

Rekod pertemuan menyaksikan kedua-dua pasangan negara itu terikat 1-1 dengan aksi terakhir memihak kepada Tang Jie-Ee Wei yang menewaskan Soon Huat-Shevon di Masters Kumamoto di Jepun, tahun lalu.

Related Articles

Back to top button