Inisiatif Kad MySiswa beri manfaat kepada hampir 550,000 pelajar universiti awam
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melancarkan secara rasmi inisiatif Kad MySiswa yang dulunya dikenali sebagai Kad Prihatin Siswa di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Kampus Pauh Putra pada Sabtu.
Hampir 550,000 pelajar di 20 universiti awam seluruh negara sudah mendapat manfaat penggunaan kad MySiswa itu sejak dilaksanakan Mac tahun lalu.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pelancaran kad itu menepati matlamat KPT untuk memperkasa dan memartabatkan pelajar universiti menerusi transformasi kad matrik sedia ada menjadi sekeping kad pintar pelbagai fungsi.
“Antara kelebihan kad ini ia boleh menjadi kad debit bank, kad akses kepada kemudahan dan fungsi dalaman kampus yang bersepadu seperti sistem kehadiran, sistem perpustakaan malah ia turut dilengkapi dengan kemudahan e-dompet.
“Selain itu, Kad MySiswa akan berfungsi sebagai kad promosi dan diskaun yang melayakkan pemegangnya menikmati pelbagai tawaran istimewa, potongan harga serta rebat sama ada di dalam mahu pun di luar kampus,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Turut hadir adalah Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr Zaliman Sauli.
Menurut kenyataan media daripada KPT sempena majlis itu memaklumkan Kad MySiswa merupakan inisiatif bersepadu KPT bersama RHB Islamic Bank Berhad selaku rakan strategik pelaksana.
Ia sebagai komitmen dalam mendukung Agenda Pemerkasaan Mahasiswa yang turut berpotensi memartabatkan gaya hidup mereka.