Semasa

‘Jadikan Ramadan bulan istimewa’ – PM Anwar

Umat Islam di Malaysia diharap mengangkat Ramadan sebagai bulan istimewa untuk meningkatkan amalan dan ibadah.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Ramadan adalah bulan turunnya al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia yang perlu dimanfaatkan dengan sebaiknya untuk memahami, menghayati dan mengamalkan kandungan kitab suci itu dalam kehidupan seharian.

“Maknanya, (dalam bulan Ramadan) kerja kita harus lebih, akhlak perlu lebih baik dan memastikan nilai kita supaya (dapat) meningkatkan ketakwaan kepada Allah.

“Jadi, saya harap mudah-mudahan bulan Ramadan (beri) kesempatan bagi umat Islam (menunjukkan) contoh yang baik. Bukan dari segi jeritan, bukan nak marah dan menghukum, mencerca serta menghina orang,” katanya dalam ucapan di Majlis Berbuka Puasa MADANI peringkat negeri Pahang di Masjid Tengku Ampuan Afzan, Indera Mahkota, Kuantan pada Sabtu.

Tambahnya, ciri-ciri umat Islam yang baik adalah mempunyai akhlak yang mulia, tidak menipu, tidak merasuah, mencuri dan turut mengingatkan pemimpin politik, penjawat awam serta peniaga supaya mempertahankan nilai integriti.

“Kalau berniaga, berniaga dengan baik. Jangan kaut keuntungan berlebihan dan menekan orang di bawah. Kalau mentadbir, mentadbir dengan amanah. Kalau memimpin, memimpin dengan amanah,” tambahnya.

BACA LAGI: ‘Perpaduan hadiah paling bermakna untuk saya’ – Sultan Ibrahim

Dalam lawatan singkatnya semalam, Anwar menghadap Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai menunjukkan kasih hormat dan terhutang budi kepada baginda selama lima tahun sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Beliau turut hadir ke sesi taklimat pembangunan bersama kerajaan negeri Pahang sebelum berkunjung ke bazar Ramadan di Taman Kerang untuk bertegur sapa dengan warga Kuantan.

Related Articles

Back to top button