Pilihan

Jangan tutup kepincangan, berlaku adil-lah kepada guru-guru PASTI

Baru-Baru ini tular satu memo daripada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) mengenai arahan siasatan pemeriksaan berkanun terhadap Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI).

Arahan siasatan itu turut melibatkan Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) dan Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam atau SMITI kerana membayar gaji rendah kepada kakitangan di bawah daripada kadar gaji minimum iaitu RM1,500.

Guru-guru PASTI dikatakan dibayar serendah RM500 bergantung yuran dibayar ibu-bapa dan kadarnya pula berbeza mengikut kawasan, selain dilaporkan tidak mencarum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta tidak mempunyai pencen dan tidak dibayar tuntutan kerja lebih masa.

Justeru Menteri Sumber Manusia sendiri, Tuan Steven Sim mengingatkan bahawa Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan mengambil tindakan jika hak pekerja tidak dipatuhi tanpa mengira latar belakang politik.

Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden kemudian memberi maklum balas dengan mempersoal mengapa Kesuma dan JTKSM mahu menyiasat PASTI walaupun semua gurunya merupakan ‘sukarelawan’.

Lebih malang lagi, nasib guru-guru terabai dan menerima bayaran kecil di bawah garis kemiskinan. Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kategori miskin ialah pendapatan ketua isi rumah (KIR) kurang daripada RM980 sebulan dan untuk miskin tegar pula mesti kurang daripada RM560 sebulan.

Berdasarkan data JKM ini, jelas guru-guru PASTI berada dalam kategori miskin dan miskin tegar, ditambah lagi jika hidup di bandar-besar besar dengan kos sara hidup yang tinggi. Walaupun Afnan menyatakan PASTI adalah aktiviti parti, tetapi pusat-pusat didikan itu sudah semestinya disertai oleh pelbagai golongan tanpa mengira kecenderungan politik yang mencari pendidikan awal alternatif, khususnya berkaitan Islam untuk anak mereka.

Saya percaya tidak mustahil antara 9,539 guru PASTI di seluruh negara, ada yang bukan penyokong PAS, tetapi mahu menjadikan bidang pendidikan awal kanak-kanak sebagai kerjaya dan punca rezeki.

Mereka tidak memasang bendera atau dekati penduduk setempat untuk berkempen, sebaliknya tugas mereka hanya mendidik anak-anak berusia 4 hingga 6 tahun dalam pendidikan awal.

Maka hujah Afnan bahawa guru adalah sukarelawan dan PASTI bukan tadika adalah perkara bahaya.

Jika guru hanya sukarelawan, adakah bermakna pertubuhan-pertubuhan lain boleh membayar gaji pekerja mereka tanpa mengikut Akta atas sebab mereka inipun sukarelawan? Bukankah ini mempermainkan undang-undang yang dipersetujui bersama?

Hujah Afnan bahawa guru PASTI hanya sukarelawan adalah batil kerana terdapat bukti-bukti surat rasmi termasuk penamatan kerja yang merujuk mereka sebagai guru dan bukannya sukarelawan parti.

Jadi, sejauh mana pimpinan PAS mahu berbohong demi melindungi kepentingan mereka yang menindas kebajikan guru dengan berselindung di sebalik agama?

Kedua, jika PASTI bukan sekolah dan hanya program parti, adakah ini bermakna mana-mana parti boleh menanam doktrin kepartian kepada anak kecil dari awal?

Bagaimana pula dengan anak kecil jika kebajikan mereka tidak terlindung dari segi undang-undang apabila PASTI diiktiraf sebagai bukan sekolah?

Maka PAS perlu bersikap adil terharap guru-guru ini. PAS perlu mencari dana tidak kira sama ada sumbangan ahli dan pemimpin parti, atau melalui syarikat dimiliki penyokongnya untuk sekurang-kurang mereka dapat gaji bulanan melebihi paras gaji minimum.

Afnan, pimpinan serta penyokong PAS perlu melihat isu PASTI ini dari sudut positif dan kemanusiaan, bukan dari kaca mata politik.

BACA LAGI: Mengapa Pas tak beri guru Pasti pencen, caruman KWSP?

Isu utama ialah mempertahankan hak pekerja dan masa depan murid PASTI, Afnan jangan mencipta pelbagai alasan demi menutup kepincangan pengurusan PASTI di bawah Pemuda PAS pimpinan kamu.

Artikel ini merupakan pandangan Fadzmel Fadzil, Exco Pemuda Umno Malaysia. Ia tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiamadani.com

Related Articles

Back to top button