Semasa

MOT keluar lesen LPS, tampung peningkatan penumpang bas sempena Aidilfitri

Kementerian Pengangkutan (MOT) bersetuju untuk menambah perkhidmatan bas untuk menampung peningkatan penumpang yang pulang ke kampung sempena perayaan Aidilfitri ini.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, bagi tujuan itu Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan memberikan Lesen Perubahan Sementara (LPS) .

“Kita memberikan LPS bagi perkhidmatan bas persiaran terutamanya laluan ke pantai timur dan utara yang akan sibuk apabila orang ramai balik ke kampung bagi menyambut Aidilfitri.

“Bagaimanapun kita akan memeriksa latar belakang syarikat yang memohon sebelum LPS dikeluarkan ,” katanya kepada pemberita selepas memeriahkan majlis berbuka puasa bersama pemimpin masyarakat di Seremban pada Sabtu.

Pada majlis itu, Anthony Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban turut menyampaikan sumbangan RM2,000 kepada masjid dan RM1,000 kepada surau dalam kawasan itu bagi mengadakan program Ramadan.

BACA LAGI: MOT lanjut tempoh subsidi penerbangan sempena sambutan Aidilfitri

Beliau sementara itu mendedahkan, berdasarkan statistik kemalangan jalan raya, secara purata 16 hingga 18 kematian direkodkan bagi tempoh dua minggu.

“Angka ini amat menyedihkan, jadi perlu ada kesedaran keselamatan dalam kalangan pengguna jalan raya.

“Justeru pemimpin masyarakat dan ahli jawatankuasa masjid dan surau diseru menyampaikan mesej mengenai keselamatan jalan raya kepada penduduk setempat menerusi program yang dijalankan sepanjang Ramadan,” katanya.

Related Articles

Back to top button