PADU dapat bina sistem kerajaan lebih efektif, kurangkan ketirisan – MB Selangor
Kerajaan Negeri Selangor sedia bekerjasama dengan Kementerian Ekonomi bagi menyempurnakan sistem Pangkalan Data Utama (PADU).
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, usaha itu adalah untuk mengukuhkan keberkesanan program dan dasar di peringkat Persekutuan dan negeri.
“Itu komitmen yang saya berikan dalam Sesi Libat Urus Kementerian Ekonomi dengan Kerajaan Negeri Selangor di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (pada Sabtu).
“Kerajaan Negeri dan Kementerian Ekonomi akan berkongsi maklumat secara dua hala sebagai usaha memastikan rakyat memerlukan bantuan kerajaan dapat diberikan secara bersasar,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya.
Dalam pada itu, Amirudin menjelaskan, untuk waktu yang begitu lama, persepsi timbul bahawa hanya rakyat yang menetap di lokaliti luar bandar sahaja yang memerlukan perhatian khusus.
Ujarnya, sebenarnya komuniti yang memerlukan bantuan secara pantas dan berfokus merupakan generasi muda yang berhijrah dari negeri lain dan memilih kawasan seperti Selangor dan Kuala Lumpur untuk peluang pekerjaan yang membayar gaji lebih tinggi.
“Saya yakin bahawa dengan pendekatan seperti Pangkalan Data Utama, Malaysia akan dapat membina sistem kerajaan yang lebih efektif dan mengurangkan ketirisan agar wang yang rakyat bayar melalui sistem cukai dapat diagihkan dan dibelanjakan dengan lebih berhemah dan berkesan,” ujarnya lagi.
Pada 18 Mac lalu, Selangor dilaporkan bakal menjadi negeri mempunyai isu keciciran bantuan subsidi bersasar tertinggi susulan ramai penduduk di kawasan berkenaan tidak mendaftar PADU.