Nasional

SKMM akan turunkan gambar, video pelajar dimuat naik oleh guru tanpa kebenaran

Semua guru yang mengajar di sekolah perlu mendapatkan persetujuan ibu bapa atau penjaga sebelum merakam atau mengambil gambar pelajar bagi tujuan kandungan media sosial.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, pihaknya menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan bekerjasama dengan platform media sosial untuk menurunkan kandungan yang mempamerkan pelajar sekolah sekiranya menerima aduan.

Beliau berkata, satu garis panduan telah dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) pada 2017 berhubung nilai dan etika penggunaan media sosial oleh guru dan murid.

“Kementerian Komunikasi tiada garis panduan terhadap guru, tetapi sebenarnya KPM telah keluarkan garis panduan dan garis panduan itu sudah lama keluar.

“Persetujuan ibu bapa bagi minor (bawah umur) adalah sangat penting. Saya percaya bahawa ini juga merupakan garis panduan untuk semua platform.

“Sekiranya kementerian saya terima apa-apa aduan yang menyatakan bahawa imej anak mereka telah wujud dalam video tetapi tanpa persetujuan mereka…tindakan akan diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Serahan Bantuan Masjid dan Surau Parlimen Kulai Sempena Ramadan di Kulaijaya, hari ini.

Tambah Nie Ching, kementeriannya telah menerima sebanyak 705 aduan berkenaan penipuan dalam talian dan 61 aduan penipuan cinta, setakat 20 Mac lepas.

Sementara itu, sebanyak RM87,000 telah disumbangkan kepada 29 buah masjid dan 58 buah surau di sini sempena Ramadan dengan masing-masing menerima RM1,000.

Jelas beliau, jumlah sumbangan tahun ini meningkat berbanding RM58,000 tahun lalu.

Related Articles

Back to top button