27,000 veteran tidak berpencen terima BHS RM300 secara bulanan
Seramai 27,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak berpencen sudah menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) berjumlah RM300 sebulan.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, penyaluran bantuan yang dimulakan sejak September itu menyasarkan veteran yang diklasifikasikan sebagai miskin tegar dan berada di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK).
Melalui insentif itu jelasnya, veteran yang sebelum ini hanya mendapat bantuan ‘one-off’ kini dibantu secara bulanan.
“Sumbangan paling besar yang kita beri pada tahun ini adalah BSH kepada anggota veteran tidak berpencen.
“Mereka selama ini hanya dapat bantuan ‘one-off’ atau sekali bayar, kadang-kadang satu tahun sekali.
“Sekarang ini kita bagi RM300 sebulan kepada mereka yang berada di bawah garis kemiskinan,” katanya dipetik Berita Harian.
Adly sementara itu menegaskan, kerajaan komited membantu golongan tersebut dengan peningkatan peruntukan dan sentiasa memantau aspek kebajikan melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM.
BACA LAGI: ATM pastikan sempadan negara dikawal pada tahap tertinggi elak aktiviti pencerobohan
Berkuatkuasa September lalu, kerajaan memanjangkan BHS RM300 sebulan kepada Veteran Tidak Berpencen pada umur 60 tahun berbanding sebelum ini yang hanya dinikmati pada umur 80 tahun.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dipetik laporan media berkata perkara itu dipersetujui Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembaharuan Perkhidmatan Awam (JKK-PPA) yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.