Agong zahir penghargaan kepada seluruh warga PDRM
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas khidmat dan jasa yang disumbangkan dalam menjaga keselamatan serta keamanan negara.
Seri Paduka Baginda yang juga Pesuruhjaya Yang Dipertua Kehormat PDRM turut menghargai sumbangan serta jasa para pesara polis yang telah mencurahkan sumbangan dalam menjaga kesejahteraan rakyat.
“Al-Fatihah buat mereka yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan para syuhada.
“Selamat menyambut Hari Polis Ke-217 kepada seluruh warga PDRM dan para veteran,” titah Seri Paduka Baginda menerusi satu hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Sambutan Hari Polis pada tahun ini masih mengekalkan tema ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’.