Semasa

‘Draf perjanjian’ seperti didakwa pembangkang tidak wujud – TPM

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menegaskan, ‘draf perjanjian’ yang diperkatakan pembangkang mutakhir ini tidak wujud.

Melalui satu kenyataan, beliau yang diberi tanggungjawab berunding dengan pembangkang berhubung peruntukan Ahli Parlimen menjelaskan, tiada menyerahkan atau menerima apa-apa draf seperti didakwa Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin.

“Dalam pertemuan di Parlimen pada 19 Mac lalu, saya hanya mendengar permohonan Perikatan Nasional (PN) dan mendengar apa yang mereka tawarkan. Tiada sebarang dokumen diberi mahupun diterima.

“Justeru tidak wujud satu dokumen ‘draf perjanjian’ di antara kerajaan dan pembangkang seperti dakwa,” katanya.

Hamzah di Dewan Rakyat pada Khamis lalu mendakwa pihaknya sudah menerima suatu draf dokumen yang memperincikan cadangan pemberian peruntukan daripada Fadillah.

Kemudian, seorang Ahli Parlimen Bersatu pada Ahad dilapor berkata Ahli Parlimen PN menuntut peruntukan RM3.5 juta setahun untuk wakil rakyat pembangkang dalam “draf tawaran perjanjian baharu”.

“Tapi adakah YB Rosol sudah lihat ‘draf’ itu? Jika belum, mintalah ‘draf’ itu dari Ketua Pembangkang. Cuba lihat ‘draf’ itu wujud atau tidak,” tegas Fadillah.

BACA LAGI: Kerajaan Kelantan ucap terima kasih kepada pentadbiran PM Anwar

Dalam pada itu, jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil berkata, kerajaan belum mendapat “apa-apa yang substantif” daripada pembangkang pada waktu ini.

“Kita kena ‘back to drawing board’. Kalau ada Ahli Parlimen pembangkang merasakan perjalanan perbincangan lambat atau lembab jangan salahkan kerajaan. Kena tanya ketua pembangkang kenapa ia lambat,” katanya yang juga menteri komunikasi.

Related Articles

Back to top button