Semasa

PADU: Kesedaran meningkat, lebih ramai dijangka kemas kini data – Mohd Uzir

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin memaklumkan 35 peratus atau kira-kira 7.36 juta rakyat sudah mengemas kini maklumat mereka dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU) setakat Sabtu lalu.

Bercakap pada program Jelajah PADU Komuniti Siam di Pendang, Kedah semalam, beliau menyatakan keyakinan lebih ramai akan mengemas kini data dalam beberapa hari terakhir sebelum 31 Mac ini, berikutan tahap kesedaran yang semakin meningkat.

“Kita menjangkakan peningkatan yang ketara. Sehingga semalam, sebanyak 7.36 juta telah kemas kini, iaitu mencecah lebih 35 peratus daripada mereka yang berumur 18 tahun ke atas yang kita anggarkan terdapat sekitar 20 juta rakyat Malaysia dalam kumpulan umur itu.

“Daripada 7.36 juta itu…menunjukkan bahawa data termasuk tanggungan bawah 18 tahun juga. Oleh itu, jumlah sebenar melebihi 10 juta jika kita mengambil kira semua tanggungan.

“Kami telah menjangka dan bersedia untuk kemasukan besar-besaran ini. Sebagai contoh, semalam (Sabtu), kami merekodkan lebih 300,000 pendaftaran dalam sehari dan menjangkakan pendaftaran akan mencecah hingga 800,000,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata , selain hebahan menerusi media massa dan media rasmi kerajaan serta di media sosial, pihaknya juga turun ke kawasan kampung-kampung bagi menerangkan kepada penduduk yang masih kurang jelas dan faham mengenai PADU.

Jabatan Perangkaan (DOSM) juga jelasnya akan membuka lebih banyak kaunter fizikal bagi memberi kemudahan kepada orang ramai mendaftar agar tidak berlaku kesilapan.

BACA LAGI: Lanjutan tempoh daftar PADU lambatkan lagi pelaksanaan subsidi bersasar

Menyentuh pendaftaran PADU di Kedah, Uzir berkata, statistik menunjukkan 33 peratus atau kira-kira 533,000 rakyat Kedah telah mendaftar dengan sistem itu.

“Sebanyak 41.8 peratus belia Kedah telah mendaftar dan tertinggi di Malaysia setakat ini, manakala kita lihat kira-kira 207,000 warga emas lebih 60 tahun turut mendaftar dengan PADU dan semua angka ini memberangsangkan,” katanya.

Pada proram Jelajah Padu yang diadakan itu, hampir 100 masyarakat Siam di kampung Tok Set berjaya melakukan pendaftaran PADU dengan dibantu kakitangan DOSM yang memudahkan proses pendaftaran dan semakan.

Related Articles

Back to top button