Semasa

Agensi dibawah JPM diarah tangani isu 3R

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar telah mengarahkan agensi dibawahnya memainkan peranan dalam menangani isu melibatkan agama, raja dan kaum (3R) yang semakin berleluasa di media sosial.

Beliau berkata, perdebatan isu 3R semakin hangat diperkatakan ketika ini dan ia amat penting untuk dikawal dalam usaha menyatupadukan semula masyarakat.

“Apabila masyarakat berpecah belah, maka rosaklah negara. Dalam konteks inilah rakyat perlu pastikan sentimen 3R tidak dimainkan, dijauhkan dan dihindarkan kerana ia sangat sensitif.

“Agama Islam melarang umatnya melakukan sebarang bentuk penghinaan atau mengeluarkan kata-kata yang boleh menyinggung perasaan penganut agama dan bangsa lain.

“Jadi, toleransi dan hormati-menghormati sangat dianjurkan dalam Islam sebab kita nak bina penyatuan masyarakat agar negara aman serta damai,” katanya.

Mohd Naim berkata begitu ketika hadir ke Ziarah Ramadan di Kompleks Kumpulan Karangkraf, di Shah Alam pada Isnin.

BACA LAGI: Malaysia hantar 100 kontena bantuan kecemasan ke Gaza

Beliau sementara itu turut menjelaskan, golongan agamawan di negara ini perlu menggerakkan segala usaha untuk menasihati orang ramai menggunakan platform sedia ada.

“Saya dah maklumkan mereka supaya menggerakkan usaha dan jangan duduk diam untuk ajak masyarakat bersatu padu serta memahami antara satu sama lain.

“Harapan saya agar masyarakat saling hormat-menghormati dan sentiasa pelihara kepelbagaian kaum di negara ini serta elakkan isu-isu kontroversi khususnya yang melibatkan kepentingan agama,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button