Uncategorized

‘Jadi pemimpin untuk pastikan masalah rakyat diselesaikan’ – Tunku Mahkota Ismail

“Menjadi seorang pemimpin bukan tentang kehadiran atau penampilan tetapi tentang memastikan masalah rakyat diselesaikan,” demikian titah Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.

Pemangku Sultan Johor itu bertitah fokus utama baginda ialah untuk memastikan kemudahan penjagaan kesihatan bagi negeri itu dan pembangunan infrastruktur yang dijalankan serta menyelesaikan keperluan rakyat. 

“Saya sudah bersuara mengenai situasi hospital di Johor sejak 2018, semasa kerajaan tidak memberi dana untuk membaiki kerosakan hospital di Johor, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah memberi sumbangan peribadi baginda untuk membaiki fasiliti yang terbakar dan rosak.

“(Justeru), Saya ingin melihat hospital-hospital ini dibina tepat pada masanya dan beroperasi secepat mungkin untuk memberi perkhidmatan kepada Bangsa Johor,” titah baginda kepada Royal Press Office menerusi hantaran di Facebook rasmi Tunku Mahkota Ismail pada Isnin.

Baginda bertitah demikian ketika lawatan ke tapak Hospital Pasir Gudang, Johor Bahru, Johor yang turut dihadiri oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr Azmi Rohani. 

Pada sesi lawatan itu, Tunku Mahkota Ismail disembah maklum berkenaan Pembentangan Projek Hospital Sultanah Aminah II Johor Bahru dan Pembentangan Projek Hospital Pasir Gudang secara terperinci.

Baginda turut berkenan meluangkan masa berangkat ke ruangan model bangunan Hospital Pasir Gudang.

“Kedua-dua hospital baharu yang bakal dibina itu adalah sangat penting untuk memberi kemudahan perubatan yang lebih baik kepada Bangsa Johor pada masa akan datang serta membantu menampung jumlah pesakit di hospital-hospital sedia ada di negeri ini,” menurut hantaran itu.

Related Articles

Back to top button