Parlimen

Kerajaan jangka kutip RM3 bilion hasil SST – PM Anwar

Kerajaan dijangka menjana pendapatan kira-kira RM3 bilion berikutan kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) daripada enam kepada lapan peratus mulai 1 Mac lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kenaikan SST juga tidak memberi kesan ketara kepada inflasi.

“Kenaikan kadar cukai perkhidmatan daripada enam peratus ke lapan peratus yang berkuat kuasa mulai 1 Mac 2024 pula lebih menumpukan kepada aktiviti berkaitan perkhidmatan kemahuan (‘discretionary’) dan aktiviti antara perniagaan yang kurang melibatkan rakyat secara langsung.

“Perbelanjaan bagi makanan dan minuman serta telekomunikasi tidak dinaikkan dan kekal pada kadar enam peratus manakal perbelanjaan utiliti seperti air dan petrol, kekal tidak dikenakan cukai perkhidmatan atau jualan.

“Perubahan kepada dasar cukai perkhidmatan terutamanya kenaikan kadar cukai perkhidmatan tidak memberi impak yang ketara kepada inflasi dengan anggaran sekitar 0.2 mata peratusan,” katanya ketika sesi soal jawab Perdana Menteri di Dewan Rakyat, pada Selasa.

Anwar berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang bertanyakan kesan terhadap kos sara hidup rakyat dan kos pengeluaran industri berikutan kenaikan SST daripada enam kepada lapan peratus yang berkuat kuasa pada Mac.

Terdahulu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, perolehan melalui pelaksanaan SST juga berupaya meningkatkan bantuan bersasar kepada rakyat memerlukan.

Malah katanya, ia turut membolehkan kerajaan melaksanakan lebih banyak penambahbaikan dan penyelenggaraan prasarana awam kritikal seperti kesihatan, sekolah dan jalan raya.

Related Articles

Back to top button