Global

Lebih 400 tan bantuan kemanusiaan dihantar dari Malaysia ke Gaza

Malaysia sudah menghantar lebih 400 tan bantuan kemanusiaan secara berasingan ke Gaza, yang dijayakan bersama badan bukan kerajaan (NGO) sejak tahun lalu.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, terbaharu adalah misi bantuan kemanusiaan kecemasan 100 kontena Malaysia dari Kaherah ke Gaza yang diselia Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) sudah pun digerakkan Sabtu lalu.

“Kontena bantuan merangkumi 1,358 tan terdiri daripada bahan asas seperti tepung gandum, kotak makanan, barangan ibu dan bayi itu bernilai RM12 juta,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen menjawab soalan Azli Yusof (PH-Shah Alam).

Beliau berkata, kerajaan sentiasa bekerjasama rapat dengan kerajaan Mesir dan Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir (ERC) bagi memastikan akses bantuan kemanusiaan sampai kepada rakyat Palestin yang memerlukan.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ketika lawatan rasmi beliau ke Mesir pada Oktober 2023 turut berbincang dengan pemimpin tertinggi Mesir bagi memastikan kelancaran akses penyaluran bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan oleh rakyat Palestin.

“Semasa lawatan khas Ahli-Ahli Parlimen ke Mesir yang diketuai oleh Timbalan Menteri Luar Negeri turut menyatakan kepada rakan sejawat beliau mengenai peranan penting Mesir dalam penghantaran bantuan kemanusiaan segera ke Gaza,” katanya.

Related Articles

Back to top button