Sebarang kontrak kerajaan akan guna Beras Putih Import mulai bulan hadapan – Menteri
Mulai bulan hadapan, semua kontrak kerajaan melibatkan pengedaran beras akan menggunakan beras putih import (BPI).
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu di Dewan Rakyat berkata, langkah itu sebagai usaha kerajaan bagi memastikan bekalan beras putih tempatan (BPT) untuk kegunaan rakyat mencukupi di pasaran.
“Begitu juga dengan stok (BPT) yang masih ada, kepada pengilang kita arahkan supaya ia dikilangkan dan dikeluarkan beras itu untuk digunakan orang awam,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu pada Isnin.
Mohamad turut memberitahu dewan, BPT mewakili 62 peratus dari bekalan beras bagi kegunaan tempatan dengan selebihnya adalah BPI.
BACA LAGI: 27,000 veteran tidak berpencen terima BHS RM300 secara bulanan
Daripada 62 peratus itu jelasnya diedarkan kepada asrama polis, asrama tentera, sekolah berasrama penuh dan agensi zakat.
“Maka, dalam edaran (pasaran) yang ada hanya tinggal lebih kurang 50 peratus BPT,” jelasnya.
Menyentuh mengenai isu kekurangan BPT, Mohamad berkata ia berpunca daripada perubahan corak permintaan pengguna susulan peningkatan harga beras putih import.