Semasa

Tidak ditamatkan, Timbalan Menteri jelaskan isu subsidi tepung gandum kegunaan am

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh menafikan pemberian subsidi tepung gandum kegunaan am bernilai RM40 juta ditamatkan.

Bercakap di Dewan Rakyat pada Isnin, Fuziah berkata, peruntukkan itu sebenarnya telah dialihkan ke program Payung Rahmah membabitkan dana keseluruhan RM200 juta.

“Pada Bajet 2023 ada butiran 040600 iaitu subsidi tepung gandum kegunaan am RM40 juta, manakala Bajet 2024, butiran ini tiada dan ditanya dalam dewan daripada Ahli Yang Berhormat. Jumlah itu ada tetapi di bawah butiran Payung Rahmah ia RM200 juta termasuk RM40 juta.

“Sebelum ini bajet ada diasingkan tetapi tidak pernah dituntut kerana tiada kilang mahu menghasilkan tepung gandum kegunaan am dan rakyat pun tak pernah minta.

“Yang dikeluarkan cuma tepung cap kunci, tepung cap ros dan tiada tepung kegunaan am ini kerana tiada kilang yang nak buat,” katanya pada sesi soal jawab.

Beliau menjawab soalan tambahan seorang Ahli Parlimen yang ingin tahu perancangan khusus Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), susulan subsidi tepung gandum terpaksa ditamatkan seperti diumumkan menteri berkenaan baru-baru ini.

BACA LAGI: Lanjutan tempoh daftar PADU lambatkan lagi pelaksanaan subsidi bersasar

Sementara itu, Fuziah turut menyangkal dakwaan bahawa pengedaran serta pengeluaran barangan subsidi sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), lebih baik .

Beliau berkata sebagai contoh pada 2022, pengeluaran gula sebanyak 437,290 metrik tan manakala pengedarannya sebanyak 430,713 metrik tan keseluruhannya, berbanding pada tahun lepas pengeluaran gula ialah 489,451 metrik tan manakala pengedarannya ialah 471,241 metrik tan.

“Bagi minyak masak peket bersubsidi…pengeluarannya secara purata pada 2022 ialah 55,000 metrik tan bulanan. Pada 2023 pula, maksimum pengeluaran (minyak masak peket) ialah 60,000 metrik tan.

“Pengeluaran (barangan bersubsidi) pada 2023 lebih banyak berbanding 2022. Maka tidak benarlah yang mengatakan sebelum PRU15 itu, barang-barang ini lebih terkawal berbanding selepas PRU15. Data menunjukkan ia tidak begitu,” katanya.

Related Articles

Back to top button