Sukan

Bukan pengakhiran buat Harimau Malaya meski tewas 0-2 kepada Oman – Pan Gon

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kekalahan 0-2 Harimau Malaya kepada Oman di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), malam tadi.

Pan Gon bagaimanapun menyifatkan kekalahan kedua itu bukan pengakhiran buat anak buahnya yang kini perlu mengharapkan keajaiban pada baki perlawanan yang ada.

Untuk melengkapkan pusingan kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027 skuad negara dijadual menentang Kyrgyzstan di Bishkek pada 6 Jun dan menamatkan saingan kumpulan menentang Taiwan di Bukit Jalil pada 11 Jun.

“Ini perlawanan yang sangat sukar… sebagai ketua, sebagai jurulatih, (saya) mohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana kami tidak dapat memberikan anda kebanggaan, maksud saya keputusan yang lebih baik.

“Kita masih ada dua lagi perlawanan dan jika ada keajaiban kita masih mempunyai peluang.

“Lebih baik jangan berputus asa dan berjuang sehingga ke akhir,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Pengendali dari Korea Selatan itu dalam masa sama optimis para pemain negara mampu menggunakan peluang sebaiknya untuk mempamerkan kebangkitan sekembalinya mereka ke pangkuan kelab masing-masing apabila saingan Liga Malaysia (Liga-M) membuka tirai Mei ini.

Terdahulu, Malaysia gagal membalas kekalahan kepada Oman di Muscat pada Jumaat lepas setelah sekali lagi tewas 0-2 dalam saingan Kumpulan D Kelayakan Piala Asia 2026.

Perlawanan pada Selasa di SNBJ itu memperlihatkan Kim Pan Gon mempertaruhkan barisan ampuh namun masih belum mampu menandingi kekuatan pasukan dari Asia Barat itu sekali gus mengecewakan lebih 20,000 penyokong Harimau Malaya.

Related Articles

Back to top button