Semasa

PM Anwar utus takziah buat keluarga ‘Aunty Bersih’

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Anne Ooi atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Aunty Bersih’ telah meninggal dunia pada umur 78 tahun pada Isnin.

Melalui satu hantaran di laman Facebook rasminya, Anwar menyifatkan mendiang sebagai seorang ikon rakyat yang wajar diteladani.

“Saya kenang beliau tidak hanya sebagai aktivis yang gigih, malah merupakan teladan kepada generasi penerus untuk terus mendesak membawa perubahan.

“Saya ucap takziah kepada keluarga mendiang Anne dan mendiang ternyata terus gagah di depan menjadi antara ikon rakyat sehingga akhir hayat,” kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.

Berita kematian bekas guru Bahasa Inggeris itu dikongsikan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang rapat dengan keluargan mendiang.

“Mendiang bersama keluarganya di Australia ketika meninggal dunia.

“Imej ini akan selama-lamanya menyelubungi semangatnya yang gigih dalam usaha kita untuk mencapai Malaysia yang lebih baik.,” kata Fahmi.

Bersih dalam media sosial miliknya turut berduka cita dengan kematian Aunty Anne.

“Kami sedih untuk berkongsi bahawa Anne Ooi, yang dikenali oleh ramai rakyat Malaysia sebagai ‘Aunty Bersih’ telah meninggal dunia.

“Bekas guru Bahasa Inggeris itu berjalan demi demokrasi Malaysia pada 2 Julai 2009 dan berhadapan dengan gas pemedih mata serta meriam air.

“Imej ikonik ‘Aunty Bersih’ berpakaian kemeja-T kuning terang sambil memegang bunga kekwa putih dan basah disimbah air bercampur kimia di luar Hospital Tung Shin menjadi imej yang menterjemahkan perhimpunan Bersih 2,” kata kumpulan pendesak reformasi pilihan raya itu.

Related Articles

Back to top button