Nasional

Program SolaRIS galak rakyat pasang sistem solar PV di kediaman

Kerajaan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) akan memperkenalkan program Solar for Rakyat Incentive Scheme (SolaRIS), bagi menggalakkan pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV) oleh pengguna domestik.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pelancaran SolaRIS dijangka meningkatkan penerapan penjanaan solar dalam kalangan rakyat di bawah Program Net Energy Metering (NEM) yang antara lain akan memberikan rebat RM1,000/kWac sehingga maksimum RM4,000 kepada pengguna baharu.

Katanya, rebat akan diberikan kepada pengguna baharu Program NEM Rakyat yang mengemukakan permohonan kepada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia pada dan selepas 1 April 2024.

Mengulas lanjut, beliau berkata program insentif khusus dengan menggalakkan pemasangan sistem solar PV di rumah pengguna domestik adalah langkah ‘quick wins’ bagi membolehkan ruang bumbung bangunan dimanfaatkan untuk penjanaan tenaga boleh baharu (TBB).

“Dengan mengambil kira potensinya yang besar dan luas, pemasangan sistem solar PV di premis kediaman wajar diperluaskan.

“Ia bagi menyokong usaha kerajaan untuk meningkatkan kapasiti TBB dalam sistem pembekalan elektrik kepada 70 peratus menjelang 2050, sekali gus mampu mengurangkan pelepasan karbon oleh sektor bekalan elektrik,” katanya melalui satu kenyataan media, hari ini.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air berkata, skim ini terbuka kepada semua warga negara Malaysia dengan had tuntutan sekali bagi setiap seorang yang merupakan pemegang akaun TNB, selain pemohon kali pertama bagi Program NEM.

Mengulas pemberian rebat, katanya ia berdasarkan prinsip ‘first come first served’ bagi kuota NEM Rakyat yang dimohon bermula 1 April sehingga 31 Disember 2024.

Beliau berkata, permohonan NEM Rakyat yang telah diperoleh perlu beroperasi selewat-lewatnya 31 Mac 2025, atau sehingga semua kuota rebat SolaRIS habis diagihkan mengikut yang mana terdahulu.

“Pembayaran rebat hanya akan dibuat selepas pemasangan serta pengoperasian sistem solar PV di bawah Program NEM Rakyat, atas nama pemegang bil dan akan didepositkan ke dalam akaun bank tempatan pengguna, tertakluk kepada terma dan syarat tuntutan.

“Pemberian insentif ini akan dikendalikan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan perincian program ini boleh didapati di laman sesawang TNB, SEDA Malaysia dan Suruhanjaya Tenaga,” katanya.

Related Articles

Back to top button