Resolusi gencatan senjata di Gaza adalah terjemahan pendirian majoriti masyarakat dunia – Fadhlina
Penerimaan Resolusi 2728 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) merupakan terjemahan pendirian majoriti masyarakat dunia yang mahu keadilan ditegakkan dan kezaliman dihentikan terhadap penduduk Palestin, kata Fadhlina Sidek.
Fadhlina yang juga Ketua Wanita KEADILAN Pusat menyambut baik resolusi berkenaan yang menuntut gencatan senjata serta-merta, pembebasan tebusan tanpa syarat dan penghantaran segera bantuan kemanusiaan tanpa halangan ke Gaza.
Serentak itu, beliau berkata Wanita KEADILAN merakamkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang konsisten dan tegas dalam mengangkat isu Palestin di pentas antarabangsa.
“Akses dan bantuan kemanusiaan merangkumi bantuan makanan dan air bersih, serta kelengkapan peralatan dan keperluan perubatan perlu segera disampaikan kepada jutaan warga Gaza yang memerlukan.
“Dalam masa sama, keselamatan warga Gaza adalah menjadi kewajipan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas resolusi ini diterima lantas penghantaran tentera pengaman wajar untuk dipertimbangkan.
“Warga global tidak lagi sanggup melihat pertumpahan darah berlaku di depan mata setiap hari,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, resolusi itu diusulkan secara bersama oleh 10 negara anggota tidak tetap Majlis Keselamatan PBB iaitu Algeria, Guyana, Ecuador, Jepun, Malta, Mozambique, Sierra Leone, Slovenia, Korea Selatan, dan Switzerland.
Fadhlina yang juga Menteri Pendidikan berkata, setelah tiga kali usul gencatan senjata yang diveto oleh Amerika Syarikat sebelum ini, setelah hampir enam bulan pembantaian terhadap warga Gaza yang meragut korban lebih 32,000 jiwa, maka gencatan senjata kali ini berjaya mencapai kesepakatan dan mesti segera dilaksanakan.