Sukan

Sukan Asia 2038: KBS belum bincang cadangan Malaysia jadi tuan rumah – Adam Adli

Belum ada sebarang perbincangan di peringkat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berhubung cadangan untuk Malaysia menawarkan diri menjadi tuan rumah Sukan Asia 2038.

Timbalan Menterinya, Adam Adli Abdul Halim berkata, memandangkan penganjuran temasya itu masih jauh, ia mungkin perlu dikaji semula terlebih dahulu memandangkan Wawasan Sukan Negara hanya sehingga 2030.

“Dalam perancangan, kita bukan sahaja memerlukan niat malah perlu mengambil kira kos dan impak ekonomi kepada negara sebagai tuan rumah, selain melihat kepada tahap pembangunan atlet. Kita tidak boleh begitu sahaja mengatakan mahu menjadi tuan rumah.

“Kita lebih fokus kepada kebajikan dan kesejahteraan rakyat serta pembangunan atlet khususnya di peringkat akar umbi selain berhati-hati memandangkan kementerian masih mempunyai peruntukan terhad.

“Kita bergantung kepada pembiayaan daripada kerajaan berbanding pelaburan yang dibuat oleh sektor lain,” katanya di Dewan Negara pada Selasa.

BACA LAGI: Malaysia tidak terima tawaran tuan rumah Sukan Komanwel 2026

Pada sesi menggulung perbahasan titah ucapan diraja bagi kementerian itu, Adam Adli turut memaklumkan KBS mewujudkan Program Khas Fast Track Road To Gold dengan peruntukan sebanyak RM1.15 juta bagi persediaan dan persiapan atlet untuk sukan akuatik-terjun dan skuasy ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

“Atlet dalam program ini akan dibekalkan kemudahan yang mencukupi dari segi keperluan, kebajikan dan pendedahan pada pertandingan tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Related Articles

Back to top button