Negeri

Tiada pemberian bonus raya bagi penjawat awam di Kelantan

Tiada pemberian bonus untuk penjawat awam di Kelantan pada Aidilfitri tahun ini, kata Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Beliau berkata, ini kerana bantuan khas kewangan penjawat awam Kelantan sudah diberi pada November lalu iaitu sebanyak RM2,000 oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud yang dianggap sebagai ‘bonus raya’.

“Bantuan itu dibayar bulan lalu jaraknya agak dekat dengan tarikh Aidilfitri dan boleh digunakan oleh penjawat awam untuk raya.

“Kita amat menghargai penjawat awam sebagaimana Kerajaan Pusat. Kalau keadaan ekonomi semakin baik, insya-Allah saya rasa kerajaan boleh fikirkan inisiatif bantuan lain selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas penyampaian sumbangan kepada golongan kurang bernasib baik sempena Program Memacu Kehidupan: Hari Raya Aidilfitri anjuran Yayasan Petronas pada Selasa.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mohamed Fadzli memaklumkan Jawatankuasa Khas Pertahan Enakmen Kanun Jenayah Syariah bagi mengkaji semula 16 Seksyen dalam Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 yang sebelum ini dibatalkan Mahkamah Persekutuan, belum bersidang.

“Jawatankuasa itu baru ditubuhkan dan Dewan Undangan Negeri pun baru tiga minggu lepas bersidang.

“Ahli-ahli jawatankuasa sudah dilantik tetapi sekarang bulan puasa dan mesyuarat itu akan diadakan selepas ini,” katanya.

Related Articles

Back to top button