Anwar

Wilayah Ekonomi Koridor Utara jadi hab ekonomi dan teknologi bertaraf dunia – PM Anwar

Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) akan dibangunkan menjadi hab ekonomi dan teknologi bertaraf dunia, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar melalui satu hantaran di Facebook berkata, ini akan direalisasikan melalui tumpuan baharu kepada tiga industri iaitu perkhidmatan termaju, pembuatan bernilai tinggi dan pertanian moden.

“Dua pemacu perubahan yang akan menyokong adalah amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan mengaplikasi penggunaan digital,” kata Anwar selepas mempengerusikan mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).

Anwar berkata, kerajaan menyasarkan untuk merealisasikan sebanyak RM367.8 bilion pelaburan dalam NCER menjelang tahun 2030.

Terdahulu, Anwar mempengerusikan mesyuarat NCIA ke-31 yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar negeri-negeri utara termasuk Perak, Kedah, Perlis, dan Pulau Pinang.

Mesyuarat membincangkan pelan pembangunan strategik NCER 2024-2030.

“Bagi tempoh 2021 hingga 2022, NCER telah menyumbang 34 peratus (RM197 bilion) daripada jumlah pelaburan yang diluluskan.

“Mesyuarat juga membincangkan inisiatif ‘Facilitation@NCER’ dalam usaha memacu dan merealisasikan pelaburan di NCER.

“Ini akan melibatkan koordinasi dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi tujuan kemudahan akses maklumat, pengurusan perhubungan pelaburan, penyesuaian perkhidmatan dan guna pakai platform pengurusan digital ‘on-track’.

Related Articles

Back to top button