Nasional

33,000kg makanan, minuman bernilai RM416,000 diselamatkan melalui projek MySaveFood Ramadan

Program MySaveFood Ramadan yang dilancarkan sejak 14 Mac lalu berjaya menyelamatkan sebanyak 33,000 kilogram (kg) makanan dan minuman dengan anggaran nilai RM416,000 di bazar Ramadan seluruh negara sehingga Rabu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata, kempen itu digerakkan kementerian dengan rakan strategik iaitu Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia dan Gerakan Pengguna Siswa (GPS) daripada Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

“Kita bekerjasama dengan GPS iaitu sukarelawan IPT di bawah KPDN yang ditugaskan untuk menasihatkan peniaga bazar Ramadan di seluruh negara agar tidak membazir dan mengumpulkan makanan yang tidak terjual untuk diagihkan kepada golongan susah.

“Selain menyelamatkan makanan yang masih elok, kita juga membuat kompos daripada sisa makanan dengan mesin kompos disediakan SWCorp yang boleh menghasilkan baja dalam tempoh 48 jam menggunakan bahan enzim,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan tinjauan mesra dan pelancaran Program MySaveFood 2024 peringkat negeri Pahang di bazar Ramadan Rahmah Mahkota Square di Kuantan pada Rabu.

Fuziah berkata, sebanyak 25,000kg makanan berjaya dikumpulkan semasa projek rintis MySaveFood pada Ramadan tahun lepas dan kali ini ia dijangka akan meningkat dengan penyertaan lebih ramai sukarelawan dalam pengumpulan lebihan makanan di bazar Ramadan.

Related Articles

Back to top button