Global

Anwar terima kunjungan hormat Menteri Luar India

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu menerima kunjungan hormat Menteri Luar India Dr S. Jaishankar, yang kini dalam lawatan rasmi dua hari ke Malaysia bermula semalam.

Jaishankar tiba di Pejabat Perdana Menteri di Perdana Putra di sini pada 2.30 petang, sebelum kedua-dua pemimpin itu mengadakan pertemuan yang berlangsung kira-kira satu jam.

Anwar melalui satu kenyataan di laman Facebooknya berkata, pertemuan itu antara lain membincangkan kerjasama dalam bidang perdagangan, pendidikan, pertanian, pelancongan, pertahanan, digital, dan sains dan teknologi.

Beliau turut menyatakan komitmen Malaysia untuk memudahkan penubuhan kampus cawangan Indian Institute of Technology (IIT) di negara ini.

Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri India Narendra Nodi, kerana membantu negara ketika Malaysia menghadapi kekurangan bekalan beras dan berharap untuk mempermudahkan lagi pengimportan hasil pertanian dari India.

“Intiha,saya zahirkan penghargaan atas kesudian Dr S.Jaishankar melawat Malaysia dan juga jemputan Perdana Menteri India, Narendra Modi untuk saya ke sana tidak lama lagi, InsyaAllah.

“Moga hubungan Malaysia-India terus berkembang dan mekar demi kepentingan rakyat kedua-dua negara sahabat,” kata Anwar lagi.

BACA LAGI: Anwar, Perdana Menteri pertama sudi terima kunjungan pemimpin Bersih

Pertemuan itu turut dihadiri Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Related Articles

Back to top button