Semasa

Dasar Buku Negara bakal diubah, pastikan ia terus releven – Fadhlina

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan perubahan bakal dilaksana terhadap dasar Buku Negara.

Ditemui pemberita selepas melancarkan buku kanak-kanak dan remaja sempena Seminar Kebangsaan Penerbitan Buku Bahasa Melayu anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka di Kuala Lumpur pada Rabu, langkah itu jelasnya bagi memastikan dasar itu kekal relevan dengan keperluan semasa dan masa hadapan.

“Kami sedang melihat secara tuntas… jawatankuasa (bagi merangka dasar baharu) sudah pun digerakkan dan Dasar Buku Negara baharu akan dimuktamad pada tahun hadapan,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu Fadhlina berkata, beberapa elemen penting yang digariskan dalam Dasar Buku Negara antaranya berkaitan pembudayaan membaca, penerbitan dan pembukuan tidak pernah disemak sejak dasar itu diperkenalkan 39 tahun lepas iaitu pada 27 November 1985.

Sementara itu pada majlis tersebut, Fadhlina mengumumkan peruntukan RM2 juta daripada Dana Penggerak Industri Buku Negara (PIBN) bagi menggalakkan penerbitan buku kanak-kanak di dalam negara.

Penerbit yang berminat jelasnya boleh memohon dan menyediakan cadangan penerbitan buku kanak-kanak yang bersesuaian bagi dipertimbangkan sebuah jawatankuasa.

“Saya yakin bahawa gerakan dan dana ini mampu menyuntik semangat penerbit untuk menerbitkan buku kanak-kanak yang berkualiti tinggi,” tambah Ahli Parlimen Nibong Tebal itu.

Related Articles

Back to top button