Global

Malaysia mohon eksport tambahan 500,000 tan metrik beras dari India

Kerajaan bakal membuat permohonan rasmi kepada India bagi peruntukan tambahan eksport 500,000 tan metrik beras putih negara itu ke Malaysia.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata begitu selepas menghadiri sesi perbincangan antara Menteri Luar India, Dr S. Jaishankar bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya pada Rabu.

“Dalam pertemuan, saya turut mengambil kesempatan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas peruntukan khas kerajaan India mengeksport 170,000 tan metrik beras putih ke Malaysia,” katanya.

India yang merupakan pengeksport beras terbesar dunia, menyumbang lebih daripada 40% daripada penghantaran global pada Julai tahun lalu mengharamkan serta merta eksport beras putih bukan basmati.

Kementerian Hal Ehwal Pengguna ketika mengumumkan perubahan dasar itu berkata, ia sebagai usaha negara itu untuk mengelak lonjakan harga domestik yang semakin meningkat.

Pada 18 Oktober 2023, kerajaan India bagaimanapun telah meluluskan pengeksportan 170,000 metrik tan beras putih bukan Basmati ke Malaysia, sebagai tanda persahabatan istimewa antara kedua-dua negara.

BACA LAGI: Agong kurnia 25,000 kampit beras kepada asnaf di Kuala Lumpur

Sementara itu menurut Mohamad, Malaysia amat menghargai hubungan dua hala yang baik dengan India dalam bidang pertanian dan sekuriti makanan.

Beliau berharap hubungan antara kedua-dua negara dapat mencapai tahap yang lebih tinggi dan meluas pada masa hadapan.

“Peluang yang cukup luas untuk Malaysia dan India mengembangkan lagi skop kerjasama dua hala dalam pertanian dan sekuriti makanan” tambahnya.

Related Articles

Back to top button