Parlimen

Pindaan berkaitan kewarganegaraan bukti kerajaan tangani isu dengan cermat

Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 yang dibentangkan bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat semalam merupakan bukti komitmen kerajaan dalam menangani isu pemberian kewarganegaraan dengan cermat.

Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sudah tidak masanya kes-kes berkaitan permohonan kewarganegaraan yang tertunggak lama diselesaikan dengan kadar segera.

“Saya ulangi komitmen kerajaan hari ini bahawa isu (permohonan) warganegara perlu ditangani dengan cermat. Kes-kes permohonan yang merupakan legasi lama yang membawa kepada pemohon terpaksa menunggu begitu lama, era itu seharusnya berlalu.

“Kita harus selesaikannya dengan berani dan bertanggungjawab,” katanya ketika ketika membentang rang undang-undang itu untuk bacaan kali kedua.

Mengulas lanjut beliau menegaskan, pindaan dibuat dengan tujuan menambah baik kaedah pemberian taraf kewarganegaraan dan bukannya penafian hak kemanusiaan.

Justeru beliau berharap semua Ahli Parlimen memberikan pertimbangan sewajarnya terhadap perkara itu bagi membantu usaha kerajaan mencari keseimbangan antara keselamatan dan kedaulatan undang-undang, serta sikap perikemanusiaan yang patut diberikan kepada pemohon khususnya golongan kanak-kanak.

RUU tersebut membabitkan tujuh pindaan, tiga pewujudan dan tiga pemansuhan bagi memenuhi keperluan semasa dalam menentukan keselamatan dan kedaulatan negara, selain memastikan kesejahteraan dan keharmonian negara terpelihara.

Ia antara lain bertujuan memasukkan fasal baharu (1A) ke dalam Perkara 18 Perlembagaan Persekutuan, untuk menghendaki mana-mana orang yang berumur bawah 18 tahun yang memperoleh kewarganegaraan melalui pendaftaran, untuk mengangkat sumpah dalam masa 48 bulan apabila mencapai umur 18 tahun.

Selain itu, pindaan pada perenggan (a) Seksyen 1, Bahagian II, Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan pindaan, bakal menyaksikan seseorang kanak-kanak yang lahir di Persekutuan dan sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya pada masa kelahiran itu bermastautin secara tetap di Persekutuan, kini tidak lagi layak untuk mendapat kewarganegaraan secara kuat kuasa undang-undang.

Ia juga memperuntukkan hak yang sama kepada kanak-kanak yang lahir di luar Persekutuan yang mana ibunya pada masa kelahiran itu seorang warganegara, untuk memperoleh kewarganegaraan, melalui kuat kuasa undang-undang, berbanding hanya jika bapanya seorang warganegara.

“Sebagai sebuah Negara Pihak kepada Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC), Malaysia tidak pernah menafikan pemberian kewarganegaraan kepada kanak-kanak terdampar di negara ini kerana masih terdapat jalur perolehan kewarganegaraan untuk mereka.

“Pewujudan dikotomi ini bersesuaian dengan objektif KDN iaitu untuk mengekalkan keamanan, keselamatan negara, membanteras segala bentuk ancaman berunsur subversif, ekstremis, espionaj, sabotaj, kekerasan, keganasan dan seterusnya memastikan keharmonian rakyat Malaysia seluruhnya terjamin,” tambahnya.

BACA LAGI: Pindaan Akta Hasutan dimulakan, halang provokasi terhadap institusi diraja

Beliau sementara itu memberitahu, cadangan mengenai pindaan itu telah diangkat kepada Mesyuarat Majlis Raja-Raja Yang Ke-265 pada 21 dan 22 Feb lepas yang telah bersetuju menimbang dan memperkenankan cadangan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2024.

Dijangkakan pindaan itu akan dibahaskan di Dewan Rakyat pada sesi Parlimen yang akan dijalankan pada Jun depan.

Related Articles

Back to top button