Program Jualan Madani Raya dijangka catat jualan sehingga RM1.6 juta – Menteri
Program Jualan Madani Raya (PJMR) 2024 dijangka mencatat jualan RM1.6 juta sepanjang 33 hari program tersebut yang bermula 8 Mac hingga 9 April ini, kata Datuk Ewon Benedick.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu berkata, program berkenaan menawarkan barang persiapan Aidilfitri dan keperluan harian pada kadar harga diskaun sehingga 20 peratus sekali gus dapat membantu meringankan beban rakyat.
“Dalam tempoh dua minggu pertama, PJMR anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mencapai jualan RM415,800 (sehingga 22 Mac) dengan 44,212 pengunjung.
“Mudah-mudahan dalam dua minggu yang terakhir, jualan kepada 60 reruai akan terus meningkat,” katanya kepada pemberita selepas sesi walkabout PJMR 2024 di Dataran Anjung Syawal, Presint 3, di Putrajaya.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R Ramanan dan Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Suriani Ahmad.
Berlangsung sempena Festival Ramadan Putrajaya 2024, Ewon berkata PJMR 2024 menyelami denyut nadi rakyat yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.
Beliau berkata, PJMR 2024 menyediakan 60 reruai jualan melalui penyertaan 28 usahawan dan 13 koperasi dengan pelbagai tawaran menarik barang persiapan Aidilfitri dan keperluan harian yang berupaya meringankan kos persiapan rakyat bagi menyambut Aidilfitri yang bakal menjelang tiba.
“PJMR 2024 bukan sahaja memberi penjimatan harga barangan persiapan Aidilfitri malah memperkasa dan mempromosikan perniagaan usahawan serta koperasi selaras dengan kerangka Malaysia Madani,” katanya.