Semasa

100 murid sekitar Putrajaya terima bantuan sambut hari raya

Sebanyak 100 murid di 10 buah sekolah rendah sekitar Putrajaya menerima bantuan hari raya untuk berbelanja membeli pakaian sempena Aidilfitri.

Pengerusi Biro Pendidikan Perpaduan Putrajaya, Senator Datuk Mohd. Hisamudin Yahaya berkata, bantuan itu hasil sumbangan Yayasan Pelajaran Mara dan Malaysian Football League (MFL) untuk anak- anak Putrajaya yang kurang berkemampuan.

“Sebanyak RM10,000 diperuntukan untuk bantuan hari raya kepada 100 orang murid yang mana setiap orang murid akan menerima RM100 untuk berbelanja membeli baju raya.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Majlis Guru Besar Putrajaya yang telah memberi kerjasama erat untuk membantu kami mencari penerima bantuan hari raya untuk program.

“Saya juga turut mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan yang sentiasa memberi lampu hijau atas segala aktiviti biro demi anak-anak dan pendidikan di Putrajaya,” katanya pada ucapan di program penyerahan bantuan di AEON BIG Alamanda pada Khamis.

Yang hadir sama, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, Pengarah Urusan Aeon Big Malaysia Tuan Sheikh Farouk bin Sheikh Mohamed dan Tuan Faisaluddin bin Mohamat Yusuff (Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pelajaran Mara).

BACA LAGI: Selangor umum bantuan khas raya sebulan gaji buat penjawat awam

Sementara itu, Fadhlina melalui satu hantaran di laman Facebooknya merakamkan penghargaan kepada Hisamudin atas kesungguhan menganjurkan program ini.

“Gembira sekali melihat betapa terujanya anak-anak ketika menerima hadiah dan sumbangan baju raya.

“Semoga sumbangan kecil ini dapat meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan persiapan menyambut Aidilfitri yang akan tiba,” katanya.

Related Articles

Back to top button