Nasional

APAD kerjasama dengan JPJ pastikan tiada pengusaha bas ekspres kenakan tambang sesuka hati

Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sentiasa komited memastikan perkhidmatan pengangkutan awam sentiasa terjamin dan mencukupi sempena musim perayaan ini.

APAD menerusi satu kenyataan hari ini berkata, kerjasama semua pengendali serta pemain industri amatlah diharapkan dalam usaha menjadikan pengangkutan awam sebagai mod pilihan rakyat meraikan kemeriahan suasana pulang ke kampung halaman.

Menurutnya, pengendali juga diberi peringatan agar mengenakan kadar tambang munasabah dan tidak sewenang-wenangnya menaikkan tambang selain jadual tambang yang telah ditetapkan berdasarkan kategori ekonomi atau eksekutif.

“APAD tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengendali yang mengenai caj tambang tambahan yang tidak munasabah dan membebankan pengguna.

“APAD dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sentiasa bekerjasama dalam memastikan tiada pengusaha bas ekspres yang mengenakan kadar tambang sewenang-wenangnya,” menurut kenyataan itu.

Agensi berkenaan turut menasihatkan orang ramai agar merancang perjalanan dan tidak membuat pembelian tiket perjalanan di saat akhir bagi mengelakkan kesulitan rancangan perjalanan pulang ke kampung halaman sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2024.

“Berdasarkan tinjauan APAD melalui di terminal-terminal utama seluruh Semenanjung Malaysia, jualan tiket secara atas talian melalui Sistem Tiket Berpusat (CTS) masih
dibuka.

“Sebagai inisiatif membantu industri bas ekspres dalam memastikan jumlah bas ekspres mencukupi sepanjang tempoh perayaan ini, pihak APAD telah membuka permohonan Lesen Perubahan Sementara (LPS) bagi perkhidmatan bas ekspres kelas Ekonomi,” katanya.

Tambahnya, selain perkhidmatan bas ekspres, pengguna juga digalakkan untuk menggunakan perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi perjalanan pulang ke kampung halaman.

Related Articles

Back to top button