Semasa

Hampir 10,000 hadir Majlis Iftar Madani bersama PM Anwar di Dataran Putra

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis meluangkan masa berbuka puasa bersama hampir 10,000 orang di Bulatan Dataran Putra, Putrajaya bersempena cuti Nuzul al-Quran.

Majlis julung kali anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama Perbadanan Putrajaya (PPj) itu berlangsung secara santai dengan hadirin duduk bersila menjamu juadah berbuka puasa yang disediakan.

Anwar tiba di ditemani isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 6.57 petang bagi menghadiri Majlis Iftar Madani (MIM) anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Turut hadir, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim dan Timbalan Menteri Perpaduan Negara, K Saraswathy.

Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Majlis yang turut diadakan dengan kerjasama 14 agensi agama Persekutuan serta rakan strategik lain itu bertujuan merapatkan persaudaraan dan kebersamaan menerusi perkongsian rezeki, sekali gus membolehkan rakyat berbuka puasa bersama Perdana Menteri.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan alunan selawat dan zikir munajat.

Turut diadakan adalah majlis penyampaian sumbangan kepada golongan asnaf di Wilayah Persekutuan berjumlah RM110,000 sumbangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) (RM50,000), Tenaga Nasional Bhd (TNB) (RM50,000) dan RM10,000 oleh Pusat Pungutan Zakat (PPZ) yang disampaikan kepada tiga wakil.

Usai berbuka, Perdana Menteri menunaikan solat Maghrib secara berjemaah yang diimamkan oleh Penolong Pengarah Kanan Masjid Putra, Abdul Karim Zakaria.

Sebanyak 10,000 pek juadah berbuka dan bubur lambuk Kampung Baru turut diagih kepada orang ramai yang hadir ke majlis tersebut.

Related Articles

Back to top button