Parlimen

Isu berkaitan graduan program Latihan Ijazah Lanjutan Kepakaran akan diselesaikan – Menteri

Menteri Kesihatan, DatuK Seri Dr Dzulkefky Ahmad memberi jaminan isu graduan program Latihan Ijazah Lanjutan Kepakaran atau ‘Parallel Pathway’ yang tidak disenaraikan dalam Daftar Pakar Kebangsaan (NSR) akan diselesaikan tidak lama lagi.

Di Dewan Negara, Dr Dzulkefly berkata beliau mengambil maklum perkara dibangkitkan beberapa pihak berkenaan kenyataan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) yang menafikan mereka pernah mengiktiraf ‘Parallel Pathway’ dari Felo Kolej Diraja Pakar Bedah Edinburgh (RCSEd) untuk program kardiotoraks di Malaysia yang bercanggah dengan status di laman web Daftar Pakar Kebangsaan (NSR).

Dakwaan wujud percanggahan itu, selain cadangan penyelesaian terhadap isu dibangkitkan itu jelas Dr Dzulkefly akan dibawa ke pengetahuan Jemaah Menteri pada kadar segera.

“Saya sudah mendapatkan kamar peguam awam untuk melihat antara yang bercanggah itu. Saya sudah nampak penyelesaian yang akan saya segera muatkan dalam satu memorundum kepada Jemaah Menteri.

“Justeru saya akan membentangkan dulu kepada Jemaah Menteri sebelum membentangkannya di sini (Parlimen). Apa yang pentingnya graduan kita dari program ‘Parallel Pathway’ ini akan diberikan segala kemudahan dan fasiliti untuk mereka diberikan ruang untuk akhirnya mendapat pengiktirafan sebagai pakar dalam NSR.

“Itu paling mustahak sekali,” katanya.

BACA LAGI: KPM lantik lebih 20,000 guru sepanjang tahun lalu

Terdahulu, Ahli Dewan Negara, Senator Dr RA Lingeswaran bertanyakan sama ada kenyataan MMC itu benar, memandangkan semakannya di laman sesawang NSR sebelum ini mendapati seramai 88 pakar bedah dari felo berkenaan sudah pun didaftarkan.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Azizan Abdul Aziz sebelum ini mengesa jawapan dari MMC susulan kenyataan dikeluarkan mereka yang menafikan pernah mengiktiraf ‘Parallel Pathway’ RCSEd untuk program kardiotoraks di Malaysia.

Melalui satu kenyataan, Dr Azizan berkata semakan terbaru pihaknya mendapati maklumat mengenai pengiktirafan itu sudah dikeluarkan dari laman web NSR.

Related Articles

Back to top button