Kerajaan bertanggungjawab pastikan semua artis nikmati hasil kerja kreatif mereka – Menteri
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali memberikan jaminan bahawa kerajaan akan berusaha sedaya mungkin untuk memastikan artis mendapat ganjaran yang sewajarnya atas hasil kerja kreatif mereka.
“Kerja dan bakat ialah aset artis kita dan sumber pendapatan mereka.
“Tanggungjawab kita adalah untuk memastikan semua artis menikmati hasil usaha mereka, bukan sahaja selama kerjaya mereka, tetapi juga selagi karya itu dinikmati,” katanya ketika menghadiri Majlis Iftar bersama Penggiat-Penggiat Seni Tanah Air anjuran FMT Media dan Persatuan Karyawan Malaysia pada Khamis.
Pada majlis tersebut, beliau telah menyerahkan sumbangan bantuan hari raya bernilai RM50,000 daripada FMT Media dan Bakul Rahmah daripada 99 Speedmart kepada 50 orang penggiat seni yang memerlukan.
Turut hadir, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Freddie Fernandez dan Pengarah Urusan FMT, Azeem Abu Bakar.
Armizan berkata, harta intelek artis dilindungi oleh Akta Hak Cipta 1987 yang membolehkan mereka memperoleh pendapatan melalui royalti.
Katanya, kementeriannya melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) telah menubuhkan sembilan organisasi pengurusan kolektif (CMO) untuk mentadbir kutipan dan pengagihan royalti kepada pemilik hak cipta.
Tambah beliau, tujuh daripada organisasi tersebut masih wujud dan akan dibaharui.
“Kita sedar bahawa organisasi ini mengalami masalah ‘tadbir urus’ dari segi royalti dikutip tetapi belum diagihkan kepada mereka yang berhak.
“Oleh sebab organisasi-organisasi ini sedang dibaharui, kita dapat menyemak dokumentasi berkaitan dan isu-isu yang timbul,” katanya.
Armizan juga mengambil maklum gesaan agar satu badan tunggal ditubuhkan untuk mengutip dan mengagihkan royalti.
“MyIPO pada masa ini tidak diberi kuasa untuk berbuat demikian, juga tidak diberi kuasa untuk menetapkan kadar tarif untuk CMO.
“Sekalipun begitu, saya tidak rasa kita (kementerian) patut berdiam diri. Walaupun CMO ditubuhkan pada 2012, hakikatnya bakat-bakat kita masih berdepan masalah ini, jadi kita mesti lakukan sesuatu,” katanya.
Berikutan itu, Armizan berkata, pihaknya menubuhkan pasukan petugas khas yang juga arahan daripada kabinet supaya isu berkaitan harta intelek dan royalti artis dinilai memandangkan sudah lama membuat tuntutan keprihatinan kerajaan.
“Pasukan petugas khas di peringkat KPDN sudah ditubuhkan sejak Mac tahun lalu dan urus setia sekarang sedang menyiapkan laporan.
“Sebaik sahaja laporan siap, kami akan lihat apa langkah terbaik untuk diambil.
“KPDN akan bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi sebab ada juga yang mengesyorkan supaya Perbadanan Industri Muzik ditubuhkan untuk memastikan hak dan kepentingan penggiat muzik lebih terbela.
“Kami akan berbincang bersama Kementerian Komunikasi apa langkah terbaik untuk bergerak ke depan,” katanya.