Negeri

RM219.6 juta disalur KPKT untuk atasi masalah banjir kilat

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyalurkan RM219.6 juta untuk mengatasi masalah banjir kilat dengan menaik taraf perparitan dan menyelenggara kolam takungan dari tahun 2023 hingga 2024.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata demikian dalam sesi perbincangan mengenai pengurusan banjir di kawasan bandar anjuran Suruhanjaya Tinggi British Kuala Lumpur.

“KPKT telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM49.59 juta bagi projek menaik taraf perparitan dan longkang kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) pada tahun 2023, dan RM20 juta pada tahun 2024.

“Bagi projek penyelenggaraan kolam takungan banjir di kawasan PBT, peruntukan sebanyak RM100 juta pada tahun 2023 dan RM50 juta pada tahun 2024 telah disalurkan kepada PBT,” menurut KPKT dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, KPKT juga berkata telah menerapkan Pelan Induk Saliran Mesra (Pisma) dalam perancangan bandar mengikut hasil keputusan Majlis Perancangan Fizikal Negara 2023.

Menurut kementerian, data pelaksanaan kajian Pisma menunjukkan bahawa projek itu telah selesai di 32 kawasan, tujuh dalam proses penyediaan kajian dan 10 kawasan masih dalam proses perancangan.

Sementara itu, kementerian juga berkata, Nga memberitahu perbincangan itu bahawa banjir kilat di Malaysia berlaku kerana perubahan pola taburan hujan, kesan urbanisasi dan pembangunan tidak sepadu, serta kapasiti sistem saliran yang tidak mencukupi.

Suruhanjaya Tinggi British Kuala Lumpur menganjurkan perbincangan itu pada 25 dan 26 Mac dengan menghimpunkan pakar dan pihak berkepentingan untuk menangani cabaran mendesak banjir bandar.

Related Articles

Back to top button