Politik

AMK rancang program dekati anak muda di PRK Kuala Kubu Baharu

Angkatan Muda Keadilan (AMK) telah mengaktifkan jenteranya bagi memastikan keperluan dan persediaan mencukupi untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, kata Adam Adli Abd Halim.

Ketua AMK itu berkata, program-program telah pun disusun terutamanya untuk mendekati golongan muda di kawasan itu.

“Kita sudah aktifkan (jentera) terutamanya AMK Selangor.

“Insya-Allah, kita akan banyakkan program terutamanya mendekati orang muda.

“Kita akan melibatkan banyak pihak dan akan pastikan bahawa menjelang PRK ini kita kekalkan prestasi sebelum ini dan membantu calon bertanding sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa hadir pada Majlis Iftar Jamaie Perdana AMK di Dewan Majlis Bandaraya Seremban di Negeri Sembilan pada Jumaat.

Sementara itu, ditanya berhubung kemungkinan calon Melayu bakal diletakkan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan, beliau memberitahu menyerahkan kepada kepimpinan Pakatan Harapan (PH) untuk berbincang sebaiknya dengan mengambil kira pelbagai faktor.

Terdahulu, dilaporkan kerusi DUN Kuala Kubu Baharu kosong selepas penyandangnya, Lee Kee Hiong dari DAP meninggal dunia akibat kanser.

Related Articles

Back to top button