Semasa

Dr Wan Azizah seru wanita sentiasa peka, terus tabur kebaikan kepada golongan memerlukan

Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyeru kaum wanita di negara ini sentiasa peka dan membuat kebaikan kepada golongan memerlukan lebih-lebih lagi pada Ramadan ini.

Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturahim Isteri-isteri Harapan Malaysia (Kasih Malaysia) pada Majlis Khatam Al-Quran dan Iftar Kasih Malaysia 2024 di Seri Perdana malam tadi turut mengajak wanita mengamalkan sikap toleransi dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Kita dijadikan berlainan bangsa untuk saling mengenal antara satu sama lain, kita sama-sama cuba lakukan yang terbaik dan perbaiki diri supaya Ramadan kali ini menjadi Ramadan terbaik,” katanya.

Majlis itu yang bermula dengan solat asar berjemaah diikuti acara khatam al-Quran, tazkirah, berbuka puasa dan seterusnya solat maghrib, isyak serta tarawih berjemaah dihadiri lebih 200 tetamu.

Pada majlis itu, Dr Wan Azizah turut menyampaikan sumbangan kepada 50 individu terdiri daripada asnaf dan ibu tunggal dari Parlimen Hulu Selangor, Shah Alam, Hulu Langat, Kota Raja dan Sepang di Selangor.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Pengerusi Kasih Malaysia, Datin Seri Azlin Hezri yang juga isteri Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan ahli Kasih Malaysia.

BACA LAGI: Malaysia tambah sumbangan RM10 juta untuk rakyat Palestin melalui UNRWA

Sementara itu, Dr Wan Azizah turut menyentuh mengenai isu dihadapi rakyat Palestin di Gaza.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu menegaskan, Malaysia tidak pernah melupakan mereka, malah kerajaan telah mencuba sedaya upaya untuk menyokong agar hak mutlak bebas mereka dikembalikan.

Related Articles

Back to top button