Kerajaan Persekutuan ambil alih projek LRT Pulau Pinang
Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara Pulau Pinang secara rasmi diambil alih Kerajaan Persekutuan daripada kerajaan negeri.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, keputusan itu dicapai susulan keputusan Jemaah Menteri yang meluluskan cadangan pembangunan projek berkenaan minggu lepas (22 Mac).
Kerajaan juga jelasnya telah memutuskan untuk melantik MRT Corp iaitu syarikat 100 peratus milik Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) sebagai pemaju dan pemilik aset.
“Pelaksanaan projek ini akan dibuat secara tender terbuka manakala perolehan akan terbahagi kepada tiga komponen utama,” katanya melalui satu sidang media pada Jumaat.
Tga komponen berkenaan ialah kontrak untuk kerja-kerja pembinaan sivil bagi Segmen 1 iaitu jajaran Pulau Silikon ke Komtar; kontrak untuk pembinaan sivil bagi Segmen 2 iaitu jajaran dari Komtar ke Penang Sentral serta kontrak ‘turnkey’ kerja-kerja sistem dan stokereta secara bina-selenggara-pindah (BMT).
“SRS Consortium Sdn Bhd (SRS) akan ditawarkan kontrak bagi Segmen 1 melalui mekanisme Single Sourcing Request Proposal.
“Tawaran ini adalah berdasarkan permintaan daripada kerajaan Pulau Pinang yang telah melantik SRS sebagai rakan pelaksana projek kepada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang yang merangkumi LRT Laluan Mutiara melalui tender terbuka pada Ogos 2015,” tambahnya.
Jajaran LRT Mutiara yang disasarkan beroperasi pada 2030 itu bermula dari Pulau Silikon hingga ke Komtar, seterusnya menyeberang ke Penang Sentral di Seberang Perai.
Jarak jajaran dianggarkan kira-kira 29 kilometer dengan 20 stesen termasuk dua stesen pertukaran iaitu di Stesen Komtar dan Stesen Penang Sentral.
Kemudahan komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan tren elektrik (ETS) turut disediakan.
BACA LAGI: Pulau Pinang cipta rekod pelaburan tertinggi bernilai RM71.9 bilion
Ditanya mengenai kos anggaran keseluruhan projek yang dijangka memulakan kerja pembinaan tahun ini, Anthony berkata, beberapa rundingan akan diadakan dengan pihak berkaitan sebelum perkara itu dapat diumumkan.
“Anggaran kos memang ada tetapi kita nak berunding dahulu dengan pihak berkenaan. Jadi kita tidak mahu meletakkan suatu kos yang kita putuskan, itu tertakluk kepada rundingan bersama dengan syarikat terbabit,” katanya.