KPM kaji kesesuaian wujudkan perjawatan warden asrama bukan dari kalangan guru
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedia mempertimbangkan untuk mewujudkan perjawatan warden bukan dalam kalangan guru di sekolah berasrama.
Menterinya Fadhlina Sidek berkata, pihaknya sudah mendengar beberapa pandangan yang dikemukakan berhubung perkara itu yang bertujuan menangani pelbagai isu termasuk kes buli selain meringankan beban dihadapi guru.
“Saya fikir barangkali apa yang kita perlu dilihat adalah ekosistem sekolah secara keseluruhan sama ada sesuai atau tidak melantik orang lain sebagai warden.
“Jika ada keperluan dan keutamaan ketika ini kita akan pertimbangkan. Kita berterima kasih kepada semua pandangan (yang diberikan),” katanya.
Fadhlina berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung pandangan beberapa pihak yang meminta KPM mempertimbangkan untuk mewujudkan perjawatan warden bukan dalam kalangan guru.
Menyentuh mengenai masalah buli, beliau berkata, pihaknya sentiasa memperkemaskan garis panduan apabila ditambah baik dari semasa ke semasa bagi mengatasi isu buli termasuk buli siber.
BACA LAGI: Kes buli pelajar sekolah: KPM tak kompromi, gesa jangan jadi normalisasi
“Apa yang paling penting adalah tanggungjawab semua untuk membanteras buli, jangan normalisasikan buli ini dan kita kena perkukuhkan semua ekosistem yang ada untuk memastikan gejala buli ini benar-benar dapat ditangani di semua peringkat khususnya sekolah,” tambahnya.
Fadhlina turut memberitahu, pihaknya juga sedang memperkasa guru kaunseling untuk memberi sokongan kepada ekosistem disiplin di sekolah.