Semasa

Lelaki Israel ditahan dengan 6 senjata api, polis perketat kawalan terhadap PM, Agong

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, elaki berusia 36 tahun itu dikesan masuk ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12 Mac lalu dengan menggunakan pasport Perancis.

Ketika diperiksa, lelaki itu kemudiannya memberikan satu lagi pasport miliknya yang mempunyai taraf kewarganegaraan Israel.

“Dalam pemeriksaan itu, pihak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman merampas enam pucuk senjata api bersama 200 butir peluru di bilik hotel tersebut,” katanya dalam sidang akhbar pada Jumaat.

Enam senjata api yang ditemui dalam bilik hotel suspek adalah jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer dan Stoeger serta 200 butir peluru yang diletakkan di dalam beg miliknya.

Menurutnya, tangkapan dan soal siasat ke atas suspek dilakukan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Kontinjen Kuala Lumpur dibantu pihak JSJ Bukit Aman.

Mengulas lanjut Razarudin berkata, siasatan mendapati kesemua senjata berkenaan dibeli suspek sebaik tiba di negara ini dengan menggunakan mata wang kripto.

“Kita sedang menyiasat bagaimana senjata itu dibawa masuk ke negara ini dan siapa yang menyeludupnya, kita pun nak tahu siapa penerima pembayaran itu,” katanya.

Razarudin turut memaklumkan, suspek dipercayai berpindah randah dan tinggal di dua atau tiga hotel berlainan sebelum diberkas.

Polis percaya suspek tidak bergerak bersendirian dan berkemungkinan mempunyai rangkaian dengan individu tertentu yang masih belum dikenal pasti.

“Apa yang membimbangkan kita di sini, pertama apabila tangkapan ini berlaku, apa yang kita nampak adalah isu berkaitan Palestin dan Israel.

“Maka kita kini sangat berwaspada tentang keselamatan Perdana Menteri sendiri, Yang di-Pertuan Agong dan juga beberapa VVIP yang kita perlu ambil kira keselamatan mereka, keselamatan di sini,” katanya.

Related Articles

Back to top button