Negeri

RM1.628 juta diperuntuk MAIWP untuk bawa pulang 10,000 pelajar IPT sempena cuti Aidilfitri

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan lebih RM1.6 juta untuk membawa pulang 10,000 mahasiswa dari beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) di sekitar Lembah Klang, ke kampung halaman masing-masing sempena cuti Aidilfitri nanti.

Pengerusi MAIWP, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer berkata, menerusi program Jom Balik Raya Bersama Mahasiswa, pihaknya bekerjasama dengan lapan universiti iaitu Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP yang melibatkan 2,040 pelajar, Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTMKL) (1,560), Universiti Malaya (UM) (1,800), Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) (1,140).

Selain itu, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) masing-masing 1,120 pelajar, Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL) (794) dan Kolej Islam Antarabangsa (KIA) (426).

“Sumbangan ini merangkumi bantuan tiket bas, bantuan tiket kapal terbang dan wang saku bernilai RM100 seorang dengan melibatkan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM1.628 juta,” katanya ketika berucap sebelum melancarkan program ‘Jom Balik Raya Bersama Mahasiswa’ di UPTM, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Beliau berkata, perjalanan pertama ini sahaja, sebanyak 25 bas yang membawa 880 pelajar telah menuju ke Melaka, Johor, Perak, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Terengganu, Pahang dan Kelantan selain 600 pelajar diterbangkan ke Sabah dan Sarawak, Rabu lepas.

Dalam masa sama, Syed Kamarulzaman turut mendoakan semoga perjalanan pelajar pulang ke kampung berjalan lancar dan semua penuntut selamat sampai ke destinasi masing-masing.

“Gunalah peluang cuti raya ini dengan penuh manfaat, bergembira bersama keluarga. Hari Raya adalah masa untuk mengerat hubungan keluarga dan sillaturrahim. Ingatlah untuk sentiasa bersyukur atas nikmat yang telah diberikan oleh Allah SWT,” katanya.

Related Articles

Back to top button