ekonomi

‘Ruh ruh ruh, ceh ceh ceh, daftar PADU bro, nanti tercicir’ – Rafizi

Jumlah individu yang mengemas kini maklumat dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU) meningkat secara mendadak menjelang tarikh akhir pendaftaran iaitu pada 31 Mac 2024 (Ahad).

Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli mengingatkan mereka yang masih belum mendaftar untuk berbuat demikian bagi mengelakkan mereka tercicir daripada mendapat subsidi dan bantuan yang disediakan oleh kerajaan.

Menurut beliau, kadar pendaftaran bagi sistem berpusat itu meningkat dengan mendadak dan angka mengampiri 10 juta pengguna menjelang tengah malam tadi.

Rafizi berkata, pertambahan bilangan mereka yang mendaftar PADU menunjukkan ramai sedar kepentingan berbuat demikian bagi mengelakkan mereka tercicir daripada sebarang subsidi dan bantuan kerajaan.

“Ruh ruh ruh, ceh ceh ceh, daftar PADU bro, nanti tercicir. Kadar pendaftaran dan pengemaskinian PADU naik mendadak sejak dua hari lepas.

“Setakat 11.59 malam, 29 Mac 2024, lebih 9.8 juta rakyat Malaysia berjaya daftar dan kemas kini maklumat mereka di PADU.

“Mungkin makin ramai sedar dan risau akan keciciran,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya.

Untuk rekod, seramai 9.82 juta daripada 30.08 juta rakyat Malaysia telah mengemas kini data dan maklumat di sistem PADU setakat Jumaat.

Menurut status di laman Facebook Padu Official, Selangor merekodkan 1.56 juta individu mengemas kini data, manakala Johor (1.10 juta); Perak (0.98 juta); Sarawak (0.90 juta); Sabah (0.83 juta); dan Kedah (0.76 juta).

Selain itu, Kelantan mencatat 0.67 juta individu mengemas kini data; Kuala Lumpur (0.57 juta); Pulau Pinang (0.56 juta); Pahang (0.55 juta); Terengganu (0.46 juta); Negeri Sembilan (0.42 juta); Melaka (0.30 juta); Perlis (0.11 juta); Putrajaya (0.03 juta); dan Labuan (0.02 juta).

Related Articles

Back to top button