Henti keluar kenyataan boleh cetus polemik perkauman – Aaron Ago Dagang
Semua pihak diingatkan supaya berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan atau mengambil sebarang tindakan yang boleh menyentuh sensitiviti agama dan kaum, kata Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.
“Saya menyeru kepada semua pihak agar tidak membuat sebarang perkara serta berhenti mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan polemik perkauman dan menggugat sensitiviti masyarakat berbilang bangsa.
“Sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, adalah menjadi kewajipan kita untuk mempertahankan keamanan dan keharmonian negara dengan tidak melakukan perbuatan provokasi dan keganasan yang akan mengakibatkan konflik dan kekacauan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.
Sementara dalam ciapan di platform X berkata, Rukun Negara adalah prinsip asas yang sepatutnya menjadi panduan bagi pembinaan serta pemeliharaan keharmonian di Malaysia.
“Cita-cita dan prinsip-prinsip tersebut perlu dihayati dan dipatuhi oleh setiap lapisan masyarakat untuk mencapai kesejahteraan bersama dan membangunkan negara yang harmoni.
“Justeru, saya berharap agar semua pihak dapat menyebar luas prinsip asas integrasi nasional iaitu faham, hormat dan terima yang merupakan prinsip asas dalam memupuk keharmonian dan kepelbagaian dalam masyarakat Malaysia,” katanya.