Semasa

Kes warga Israel: beberapa individu lain bakal ditahan – Menteri KDN

Pihak berkuasa polis akan mengambil tindakan terhadap beberapa lagi individu yang dipercayai ada kaitan dengan seorang lelaki warga Israel yang ditahan bersama enam senjata api di sebuah hotel di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pihak polis sudah mengenal pasti beberapa nama untuk tindakan mereka.

“Kita berjaya menemukan semua senjata yang beliau miliki dan tinggal sekarang polis buat pengumuman penangkapan beberapa lagi yang terlibat… akan ada lagi pemantauan pihak polis setelah hasil soal siasat itu mendapati ada lagi individu yang disyaki terlibat.

“Jadi pada peringkat sekarang, kita serah kepada kebijaksanaan pasukan polis untuk buktikan betul atau tidak kedatangan lelaki itu seperti yang disebut atau yang lain, semua dalam rangka soal siasat,” katanya.

Saifuddin berkata begitu selepas menghadiri satu majlis sempena ulang tahun ke-11 Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) di Lahad Datu, Sabah semalam.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata keamanan, ketenteraman awam dan keselamatan rakyat di negara ini adalah terjaga.

BACA LAGI: Lelaki Israel ditahan dengan 6 senjata api, polis perketat kawalan terhadap PM, Agong

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Pertahanan (MINDEF) menyatakan kesediaan memberikan kerjasama untuk mendapatkan maklumat susulan tangkapan individu itu.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, berkata kes berkenaan berada di bawah tanggungjawab Kementerian Dalam Negeri (KDN), namun pihaknya akan turut memberi kerjasama dalam membantu jika ia diperlukan..

“Fokus utama kementerian adalah menjaga kedaulatan dan sempadan negara, manakala KDN mempunyai tanggungjawab dalam isu keselamatan negara kita termasuk berkaitan isu terbabit.

“Kita bersedia berganding bahu dalam menyelesaikan sebarang masalah terutama membabitkan keselamatan negara agar ia dapat diselesaikan dengan segera,” katanya dipetik.

Related Articles

Back to top button